Monday, November 30, 2009

Perubahan

Kesan daripada persaingan yang tidak sihat yang pernah aku tulis sebelum ini, aku terpakasa melakukan beberapa perubahan drastik terutama dalam bidang pemasaran. Pemasaran hasil ladang buat masa ini di hantar kepada Pemborong dan tidak lagi kepada peniaga-peniaga di Pasar sekitar. Aku tidak meletakkan permasalahan ini sebagai ancaman malahan, persaingan yang berlaku ini telah membuka satu peluang baru untuk diceburi.


2 Perubahan utama yang dibuat diladang ini ialah dari segi pemasaran dan masa kerja. Pemasaran terus kepada pemborong terpaksa aku gunakan dalam keadaan sekarang walaupun cara pemasaran begini tidak aku gemari. Keputusan menggunakan khidmat pemborong atau orang tengah ini juga diambil setelah meneliti beberapa faktor dan kelebihan yang ada. Semasa keadaan sayuran pada harga tinggi begini, kesan tidak lah dirasai sangat sekiranya kita berurusan dengan pihak tengah. Kebetulan, pengeluaran juga diperingkat akhir. Perubahan kedua ialah masa bekerja. Oleh kerana kurangnya kerja yang perlu dilakukan di ladang, aku menetapkan masa bekerja cuma ½ hari dan dilakukan pada sebelah petang sahaja. Keadaan ini boleh kembali kepada keadaan asal dalam 1 ½ bulan akan datang.


Tenaga kerja pada masa sekarang adalah penduduk setempat sepenuhnya. Aku tidak lagi merancang untuk mengambil tenaga kerja luar dalam masa terdekat ini. Pekerja sekarang adalah golongan muda diperingkat belasan tahun yang tidak dapat menamatkan pengajian kerana faktor kemiskinan. Sudah hampir 7 bulan mereka bekerja secara part time di ladang aku dan kini aku ingin berkongsi peluang dalam bidang pertanian ini bersama mereka.

Sejak beberapa bulan ini juga, beberapa pelajar dari kolej pertanian sering datang berkongsi pengetahuan di ladang aku. Apa yang aku boleh kongsikan cuma pengalaman dalam bidang sayuran ini terutama dari segi strategi dan pemasaran. Dari segi strategi, aku percaya rangkaian network dikalangan usahawantani amat penting terutama untuk menjayakan konsep pemasaran nanti. Sudah tiba masanya, golongan usahawantani terutama bumiputera berani untuk mengubah skop dan pandangan pemikiran mereka. kerjasama dan kesetian amat penting untuk berjaya.


Pada masa sekarang juga, cuaca masih lagi hujan semenjak beberapa bulan yang lepas. Keadaan begini menyebabkan ramai golongan peladang yang tidak dapat memaksimakan hasil pengeluaran ladang mereka dan juga tidak dapat untuk memulakan tanaman yang baru. Harga bagi kebanyakan sayuran juga terlalu tinggi terutama 1 minggu sebelum dan 1 minggu selepas Aidil Adha. Harga cili mencecah RM 9 per kg, Timun RM 2 per kg, Kacang Panjang RM 2.50 Per kg dan Terung pula pada harga RM 2.00 per kg. Harga begini pada peringkat ladang dikategorikan sebagai mewah.

No comments: