Friday, December 11, 2009

Musim Panas Kembali

Sudah hampir 1 minggu tiada hujan dan aku percaya keadaan cuaca sudah mulai menghampiri musim panas. Pada tahun lepas, tanpa persediaan , operasi ladang terbantut sebentar kerana mengalami masalah kekurangan air dimana keadaan cuaca yang melampau panas sehingga menyebabkan sumber air utk tanaman menjadi kering. Kini, pada tahun ini aku lebih bersedia dan Cuma aku lebih berharap agar keadaan cuaca yang panas ini tidak seteruk tahun lalu.


Apabila keadaan cuaca begini, harga sayuran menjadi tinggi terutama bagi sayuran jenis daun seperti sawi kerana ramai masalah bekalan air namun bagi beberapa jenis sayuran yang popular untuk diusahakan oleh kebanyakan penduduk kampung akan mengalami penurunan. Contoh sayuran yang bakal turun di pasaran adalah timun, kangkung dan bayam. Faktor ini kerana sayuran ini lebih mudah di jaga dan mudah diusahakan secara kecil. Keadaan cuaca yang panas begini juga berlaku di daerah-daerah pengeluaran sayuran dari negara Thailand. Peningkatan sayuran import juga akan memberi kesan secara tidak langsung kepada penurunan harga di pasaran.


Keadaan cuaca panas begini dipercayai akan berlarutan sehingga bulan Mac nanti. Dalam perancangan aku, masa ini amat sesuai untuk merawat tanah kerana penggunaan secara berterusan selama 2 tahun ini menyebabkan tanah di kawasan ladang ini menjadi masam. Pada MAHA 2008 yang lalu, aku pernah diberikan taklimat ringkas berkaitan pemuliharaan dan rawatan bagi tanah pertanian tetapi melibatkan kos yang terlalu tinggi jadi aku membuat keputusan untuk menggunakan kaedah tradisional sahaja.


Pengeluaran Kacang bendi juga semakin berkurangan dan harga ladang masih lagi di antara RM 3.50 per kg sehingga RM 4.00 per kg. Dalam keadaan semasa aku menjangkakan pengeluaran pada musim ini cuma selama 2 bulan lebih dan sehingga kini rekod pengeluaran telah mencecah 13 tan. Anak semaian bendi baru juga boleh dipindahkan pada minggu hadapan. Penanaman kali ini Cuma di tapak berkeluasan 3.5 ekar kerana tapak ladang 7 ekar mungkin direhatkan selama 2 bulan.


Aku juga merancang untuk pulang ke Serdang, Selangor selama 1 bulan selepas pemindahan anak benih bendi selesai nanti bagi mencari peluang pemasaran di Pasar Borong Selangor. Tanaman bendi pada kali ini mungkin kurang penjagaan kerana pekerja sedia ada kurang mahir tetapi aku terpaksa meletakkan pengharapan kepada mereka selama tempoh masa aku tiada di ladang nanti.

No comments: