Alhamdulillah..minggu ini aku berkesempatan juga untuk melawat expo Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism (MAHA 2008). Banyak juga penyelidikan dan perkembangan teknologi terbaru yang sesuai diaplikasikan dalam sektor pertanian di Malaysia. Pada tahun 2006 yang lalu, aku juga sempat melawat expo MAHA ini cuma pada masa itu, aku belum bergelar petani dan masih lagi keliru dalam memilih bidang yang sesuai. Maka aku kurang prihatin dengan perkembangan teknologi dan peluang yang mampu digarap dalam sektor ini tetapi pada MAHA 2008, aku menggunakan sepenuhnya kesempatan pada kali ini untuk mendalami kemajuan sektor pertanian Negara kita.
Pengkomersilan Biji benih
Semasa melawat booth MARDI, aku berkesempatan mendengar penerangan ringkas daripada Dr. Mohammed Selamat bin Madom (Head) Planting Material, Seed and Livestock Breed Production Unit. Pembangunan serta pengkomersilan penghasilan biji benih masih baru di Malaysia, namun bidang ini mampu meraih pulangan lumayan sekiranya diceburi oleh petani. Aku bersetuju dengan pendapat beliau, berdasarkan pengalaman aku selama mendapatkan bekalan biji benih untuk sayuran di ladang ini. Purata petani yang terlibat dalam aktiviti pertanian bergantung keseluruhan daripada biji benih yang diimport untuk mendapatkan bekalan bagi ladang mereka. Bagi sayuran kangkung dan bayam, kebanyakan syarikat pengeluar biji benih mengimport biji benih tersebut daripada Negara Thailand dan benih sayuran sawi pula daripada Negara China. Bagi tanaman jagung pula, kita berbangga memperkenalkan benih daripada Taiwan yang kononnya lebih berkualiti dan memberi hasil yang lumayan sehingga kita alpa kepada sektor pengeluaran biji benih tempatan terutama hasil kajian daripada MARDI. Oleh itu, usaha ke arah meningkatkan dan mengkormesialkan pengeluaran bijih benih di Malaysia perlu di tingkatkan selaras dengan kemajuan teknologi dalam bidang pertanian.
Penyelidikan
Pujian harus diberikan kepada MIMOS dalam usaha mereka memperkenalkan “Sensors in Precision Agriculture”. Satu teknologi moden dalam sektor pertanian yang penting dalam memperkasakan bidang pertanian. Perkembangan dan penemuan teknologi baru ini mampu membawa perubahan terutama dalam kegiatan perekonomian pertanian bagi menambah hasil pengeluaran dan meninggikan keuntungan kepada petani moden. Atas usaha kerjasama antara MIMOS Berhad, Malaysian Remote Sensing Agency dan Malaysian Meteorological Department, satu teknologi yang dinantikan selama ini oleh setiap petani telah dihasilkan dan sedang menunggu masa yang sesuai untuk dikomersialkan. Teknologi sensor yang dikawal oleh sistem maklumat ini amat berguna kepada sektor pertanian terutama dalam penghasilan produk berkualiti melalui gabungan maklumat diantara perubahan faktor cuaca dan keberkesanan input pertanian dan seterusnya mengekalkan keseimbangan penawaran di sesuatu kawasan pasaran. Sebagai petani, aku sendiri tidak sabar untuk mengaplikasikan teknologi ini di ladang sayuran ini apabila ia dikomersialkan.
Penglibatan swasta
Kita berbangga dengan penglibatan sektor swasta Negara dalam aktviti pertanian. Pengkomersilan teknologi melalui rangkaian inovasi dengan sektor swasta perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa. Insyaallah, aku akan berusaha untuk bersama-sama dalam ekspo MAHA pada masa akan datang. Jumpa di MAHA 2010.
Cadangan
Aku suka untuk mencadangkan agar pada ekspo MAHA yang akan datang iaitu MAHA 2010, Kerajaan mengundang peserta dari Negara luar yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pertanian samada penanaman , penternakan atau penyelidikan teknologi bagi membuka peluang kepada usahawantani tempatan mempelajari dan mengeksploitasi kemajuan dalam pembangunan sektor ini.
Wednesday, August 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment