Sunday, August 10, 2008

Perihal Hutang

Keperluan untuk berhutang dalam menjalankan aktiviti perniagaan adalah penting sekiranya kita tahu dan mampu membayar balik jumlah hutang tersebut. Dalam aktiviti pertanian, tidak dapat tidak, kita mesti berhutang terutama dengan pembekal namun tahap disiplin yang tinggi perlu ada dan kemahiran memanipulasi jumlah hutang dengan kadar faedah juga mestilah dititikberatkan. Kita perlu bijak memilih agensi pemberi hutang berdasarkan beberapa faktor seperti tempoh masa, kadar faedah dan keperluan.



AgroBank

Melalui Agrobank, kerajaan memperuntukan banyak dana bagi membantu petani. Antara dana bantuan pinjaman yang boleh usahawantani mohon adalah skim 3F, SUTKS dan MUST. Aku sengaja memperkenalkan ketiga-tiga skim ini kerana melalui skim ini, usahawantani mampu membuat hutang dengan tanggungan risiko yang rendah. Aku sendiri berhutang dengan AgroBank melalui skim SUTKS bagi memperbesarkan aktiviti ladang sayuran ini.



Kelebihan Pengurusan Hutang

Kelebihan berhutang kepada kita golongan usahawantani adalah kita mampu menjana keuntungan yang berterusan melalui lebihan tunai dengan tanggungan liabiliti yang rendah berbanding tiada kecairan tunai. Pandangan aku ini mudah difahami sekiranya kita faham mengenai nilai tunai pada hari ini berbanding pada masa hadapan namun konsep ini akan menjadi bebanan dan meminimakan keuntungan kita sekiranya diaplikasikan dalam konteks kita sebagai pemberi hutang. Maka sebolehnya, kurangkan pemberian hutang kepada pelanggan kita.Melalui penulisan lalu, aku pernah menyentuh mengenai pengurusan hutang yang bijak.

Sebagai usahawantani, kita berdepan dengan risiko pemberian hutang kepada pelanggan kita. Wujud dikalangan pelanggan, ada diantara mereka yang gemar berhutang dan susah untuk menjelaskannya. Konsep yang perlu difahami adalah nilai pemberian hutang semalam berbeza dengan nilai penerimaan bayaran hutang kita pada hari ini. Namun kita perlu bijak dalam menguruskan risiko ini agar tidak kehilangan pelanggan. Pemberian hutang yang minima juga perlu diberikan kepada pelanggan kita demi menjamin hubungan perniagaan dan mengelakkan aktiviti pengeluaran hasil pertanian kita di pasaran tersekat. Jadi kita perlu bijak dalam mengurangkan risiko hutang lapuk dan kehilangan pelanggan. Bagi rakan-rakan yang kurang mahir dalam menguruskan hutang, aku lebih suka untuk mengesyorkan agar rakan-rakan mengikuti kursus atau kelas pengurusan hutang.

No comments: