Kepentingan utama dalam sektor pertanian di kalangan petani adalah kenalan ataupun networking. Network diantara petani sesama petani, petani dengan pelanggan dan petani dengan pembekal. Ketiga-tiga jaringan ini amat penting bagi golongan petani dalam mencapai matlamat pengeluaran ladang yang maksimum melalui kos operasi yang minimum.
Network sesama Petani
Kerap kali kita alpa dan merasakan tidak perlu mempunyai hubungan dengan petani-petani lain lebih-lebih lagi mereka yang sama mengusahakan tanaman seperti kita. Mungkin atas dasar iri hati dan takut untuk melihat kejayaan orang lain dan merasa tergugat dengan perkongsian pasaran menyebabkan pemikiran seperti ini masih disimpan. Kita yang menceburi bidang ini perlu bersatu dalam merangka pengeluaran dan pemasaran hasil tani bagi menjamin kualiti pengeluaran dan kestabilan harga. Sikap berahsia dan terlalu tertutup menyebabkan tingkat operasi ladang kita menurun dari semasa ke semasa. Aku suka untuk memuji seorang pengusaha tanaman bendi di kawasan berhampiran ladang sayur ini, walaupun beliau mengusahakan secara kecil kecilan namun sikap professional dalam berkongsi maklumat, pendapat dan pandangan beliau dengan petani lain sewajarnya dijadikan contoh yang baik. Jaringan kenalan sesama kita pengusaha tanaman sayuran bukan sahaja perlu tertumpu di dalam kawasan kita malahan sepatutnya melangkaui kawasan kawasan lain samada melalui alam nyata ataupun alam maya. Kita boleh berkongsi pendapat mengenai tanaman yang diusahakan, pandangan mengenai pasaran setempat dan serantau serta maklumat berkaitan peluang baru yang mampu diterokai bersama. Salah satu contohnya ialah melalui forum
www.bicarajutawan.com dan forum www.forumpertanian.com.
Network dengan Pelanggan
Petani juga perlu mempunyai hubungan yang baik dengan pembeli hasil tani dari ladang kita terutama peniaga-peniaga di pasar. Network yang berkesan dengan golongan ini mampu memberikan panduan kepada kita dalam merancang sesuatu tanaman mengikut permintaan pasaran. Sehingga kini, aku mengaplikasikan hampir 30% setiap pandangan daripada golongan ini dalam menentukan jenis tanaman dan pengeluaran bulanan hasil sayuran dari ladang aku. Golongan ini juga merupakan media pengiklanan yang paling berkesan bagi mereka yang menceburi bidang pertanian. Dalam situasi aku dari mula menceburi bidang ini, aku cuma memulakan hubungan perniagaan dengan seorang pelanggan yang cuma mendapatkan bekalan sebanyak 5kg setiap hari dan dibawah paras harga pasaran. Walaupun kurang keuntungan menjual dengan harga yang sedikit murah dari harga pasaran, namun aku sentiasa berfikiran positif iaitu 100 pelanggan bermula dari pelanggan pertama. Alhamdulillah, melalui beliau jaringan pelanggan aku sentiasa bertambah di samping maklumat pasaran yang diperolehi secara percuma setiap hari.
Network dengan Pembekal
Pengusaha ternakan ayam, pembekal baja, pembekal benih sehingga kepada pegawai-pegawai pertanian merupakan golongan yang perlu untuk kita bina jaringan perniagaan melalui persahabatan. Dalam bidang pertanian, tidak kira apa pun tanaman yang kita usahakan, kita memerlukan bekalan tahi ayam sebagai baja asas yang merupakan faktor terpenting di peringkat awalan pertumbuhan tanaman. Sekiranya kita gagal untuk membina network dengan golongan ini, mustahil untuk kita mendapatkan bekalan baja asas ini memandangkan permintaan terhadap tahi ayam pada masa sekarang begitu tinggi. Kewujudan syarikat baru berorientasikan penghasilan baja kompos dan organik dimana mereka membeli kesemua bekalan tahi ayam bagi dijadikan bahan asas dalam menghasilkan baja keluaran syarikat mereka menjadikan penawaran bekalan tahi ayam berkurang berbanding permintaan. Sekiranya kita tidak mempunyai jaringan persahabatan dalam perniagaan dengan pengusaha ternakan ayam maka kita terpaksa la menunggu berbulan-bulan bagi mendapatkan bekalan. Hubungan perniagaan yang erat juga perlu diwujudkan dengan pembekal baja dan benih sayuran dimana kita boleh mendapatkan maklumat harga pasaran dan kualiti benih yang terpilih. Kejujuran dan sikap kebolehpercayaan perlu diwujudkan dengan pembekal baja dan benih dimana kedua-dua sikap ini mampu membantu kita dalam menguruskan pusingan kewangan. Hubungan yang akrab perlu dibina juga dengan pegawai-pegawai pertanian kerana mereka sentiasa mahu berkongsi pengetahuan dan pengalaman bersama petani.
Thursday, July 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment