Sunday, May 30, 2010

Tender

Alhamdulillah, MSSB telah berjaya memperolehi tender bekalan makanan bermasak untuk sebuah sekolah di daerah kubang pasu, Kedah. Kontrak tender selama 2 tahun ini akan bermula pada 01 Jun 2010 nanti dan tamat pada 31 Mei 2012.


Pada tahun ini, aku juga begitu aktif memasuki pelbagai tawaran tender pihak Kerajaan yang berkaitan bahan mentah seperti sayuran dan buah buahan. Pada mulanya, aku jadikan peluang ini sebagai kaedah pemasaran kedua untuk hasil ladang sayuran ini pada masa akan datang. Aku melihat perlunya pelbagai alternatif kepada pemasaran memandangkan aku tidak mahu terikat dengan satu sumber pemasaran sahaja.


Pada masa kini, pokok – pokok timun dan kacang panjang menjalar dengan suburnya. Aku menjangkakan tuaian timun dapat di buat dalam masa 10 hari lagi. Penanaman timun pada kali ini agak besar di mana aku menyediakan kawasan seluas 1 hektar dan jangkaan kasar pengeluaran yang mampu di hasilkan nanti ialah sebanyak 2000 kg sehari. Bagi kacang panjang pula, aku mensasarkan pengeluaran sebanyak 300 kg sehari. Dalam keadaan cuaca sekarang tambahan musim cuti persekolahan hampir bermula, aku percaya sedikit hari lagi akan berlaku lonjakan kenaikan harga bagi pelbagai jenis sayuran di pasaran.


Dalam keadaan sibuk begini, permasalahan tenaga kerja boleh menyebabkan aktiviti ladang terganggu. Kehadiran pekerja yang tidak konsisten menyebabkan beberapa perancangan tanaman terpaksa di tunda. Namun aku percaya, masalah ini mudah untuk di atasi dan alternatif yang diambil ialah dengan menambah bilangan pekerja sementara di mana pekerja sementara ini hanya bekerja di sebelah petang sahaja.


Keadaan cuaca juga semakin baik. Hujan cuma sekadar 2 kali seminggu dan tanaman mendapat cahaya yang cukup untuk tumbesaran.


Harga pasaran bagi timun kini semakin stabil dan aku mengjangkakan kenaikan mendadak harga bagi timun ini dalam masa 2 ke 3 minggu akan datang. Di pasaran sekarang, masalah kekurangan kacang Bendi dan Kacang Panjang menyebabkan harga bagi kedua-dua sayuran ini meningkat. Harga ladang bendi di antara RM 3 ke RM 3.50 dan kacang panjang di antara RM 2 ke RM 3 per kg.

No comments: