Thursday, May 20, 2010

Perbezaan Musim

Ramai dikalangan kita usahawantani yang menyedari dan menyimpan rekod keadaan cuaca , harga dan permintaan bagi hasil sayuran kita. Sebelum ini, aku sendiri selalu merekodkan kesemua maklumat berkaitan tanaman dan pasaran.


Namun begitu, masih ada yang aku terlepas pandang terutama dalam bab perbezaan musim atau peranjakan musim. Aku menyedari hal ini selepas terlibat secara aktif dalam bidang tanaman padi. Seperti penulisan sebelum ini, aku ada menceritakan berkenaan kerja-kerja menuai padi yang ditawarkan di Pasir mas Kelantan. Aku sedar pada tahun lalu, keadaan cuaca seperti sekarang berlaku dalam bulan April tetapi pada tahun ini, cuaca hujan yang tak menentu dan rebut berlaku dalam bulan Mei.


Bagi rakan rakan usahawantani yang terlibat dalam tanaman padi mungkin lebih arif kerana di kawasan kedah sekarang, kebanyakan pesawah baru mula menabur benih dan menyemai benih. Dalam Kalendar kaum cina juga, pada masa sekarang di kira sebagai bulan yang ke 4.


Mengikut rekod pada tahun 2008, keadaan cuaca begini berlaku pada penghujung bulan Mac dan awal bulan April. Pada tahun 2009, keadaan cuaca yang sama berlaku pada penghujung bulan April dan awal bulan May. Pada tahun ini 2010, keadaan cuaca semakin berganjak dimana cuaca seperti ini berlaku dalam pertengahan bulan May.


Walau bagaimana keadaan cuaca , aktiviti ladang tetap berjalan seperti biasa, Cuma kadang-kadang, masalah kehadiran pekerja tetap berlaku. Usia pokok timun yang mencecah 20 hari kini telah setinggi paras pinggang. Terdapat juga beberapa penyakit yang dikesan berlaku seperti reput akar, mozek dan kekurangan Fe dan Mgo. Penyakit reput akan berkemungkinan kerana faktor hujan yang berterusan terutama di waktu malam. Terdapat juga daun daun yang dikesan mempunyai ciri ciri penyakit mozek atau bintik daun tetapi tidak terlalu serius. Bagi satu kawasan tanaman timun, terdapat juga tanda-tanda kekurangan Fe dan Mgo. Pada tanaman bendi yang lepas, kawasan yang sama juga mengalami masalah yang hampir serupa. Jadi aku percaya masalah ini berpunca dari faktor tanah.


Harga bagi timun semakin menurun di pasaran. Setelah kekal pada harga RM 1 selama hampir sebulan, kini harga semakin menurun di antara RM 0.80 ke RM 0.70. Insyaallah, aku percaya harga timun akan kembali meningkat pada musim cuti sekolah nanti akibat daripada permintaan yang tinggi.

No comments: