Wednesday, September 30, 2009

Persaingan

Dalam apa jua perniagaan atau pun perusahaan yg dijalankan, tidak dapat kita elakkan timbulnya persaingan daripada pesaing-pesaing kita. Persaingan boleh wujud daripada pesaing sedia ada atau pun pesaing yg baru memasuki pasaran. Persaingan juga mampu memberikan tekanan kepada kita untuk memperbaiki segala kelemahan terutama dalam pengeluaran & permasaran dan meningkatkan mutu dan kualiti produk kita. Aku percaya melalui pasaran bebas, ia mampu menggalakkan persaingan yang sihat dan menjadikan perusahaan kita bertambah maju.

Persaingan dikalangan usahawantani, seharusnya dipupuk dengan menyemai nilai-nilai murni dan mengelakkan konsep pancung-memancung. Tidak dinafikan wujud usahawantani yg tidak mementingkan networking, tetapi kita harus bijak menghadapi persaingan begini.

Dalam 2 minggu ini, aku sendiri tidak dapat menggelakkan persaingan yang wujud dalam pasaran bagi cili dan dijangka berterusan bagi pasaran kacang bendi. Sebelum ini, harga pasaran bagi cili RM 7 per kg telah jatuh sehingga RM 5 per kg. Dalam tempoh 2 minggu penurunan mendadak harga cili berpunca daripada kewujudan “pembekal segera” yang memasuki pasaran.

Konsep yang aku gunakan bila memasuki sesuatu pasaran adalah memaksimakan keuntungan. Memasuki pasaran tanpa sebarang strategi atau tujuan boleh mengakibatkan kerugian kepada golongan kita usahawatani tetapi dimanipulasikan oleh golongan pembekal dan penjual kerana pengguna tetap membeli pada harga pengguna. Mungkin sikap mengambil langkah mudah dengan memasuki pasaran dengan harga dibawah paras, kita berjaya menjual tetapi keuntungan yang diterima adalah minima sedangkan pasaran sentiasa terbuka dan berterusan. Jika di pasaran borong, kita berikan harga ladang…rugi lah. Pasaran Borong mestilah harga borong.


Harga Ladang

Harga ladang ialah dimana pemborong akan mengambil hasil pertanian di ladang dan di jual di pasar borong.Usahawantani tidak perlu menanggung kos pengangkutan dan risiko kerosakan semasa proses pemasaran.

Harga Borong


Harga borong ialah dimana penjual atau peraih kecil membeli hasil pertanian di pasar borong dan diagihkan kepada peniaga di pasar-pasar kecil.

Harga Runcit

Harga runcit ialah dimana peniaga di pasar-pasar menjual kepada pengguna yang kebanyakannya isi rumah.


Kealpaan memahami konsep Harga Pasaran ini menyebabkan kita tidak memaksimakan keuntungan bagi setiap kg hasil pertanian dari ladang kita. Mungkin dikalangan kita lebih selesa menjana keuntungan hanya di peringkat ladang tetapi wujud juga mereka yang lebih berkeyakinan untuk memasarkan hasil pertanian terus kepada peniaga di pasar pada harga borong. Jadi, persaingan yang hendak diwujudkan mesti bertepatan dengan keadaan dan susunan pusingan pasaran ini. Nasihat aku, kita jangan bertindak sendirian dengan memasarkan hasil ladang kita terus kepada peniaga di pasar pada harga ladang kerana di luar sana ramai lagi pengusaha besar (Usahawantani dan Pemborong) yang bila-bila masa mampu “membunuh” perusahaan kita akibat daripada permainan kita sendiri.



Ladang Bendi

Hari ini, 2 orang pegawai dari Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) datang melawat ladang aku dan memberikan nasihat memastikan keselamatan dan Kesihatan pekerja di tempat kerja terjamin. Terima kasih En Mahamad Nanyan atas nasihat tadi.

Aku akan berkongsi maklumat berkaitan badan ini pada penulisan akan datang.

No comments: