Kenaikan harga sayuran
Bulan Oktober hingga Disember selalunya musim tengkujuh atau pun musim hujan bagi sesetengah kawasan di Malaysia. Bagi tanaman sayuran, mungkin sukar bagi usahawantani untuk menanam kerana beberapa faktor seperti serangan penyakit daripada serangga hingga ke kulat. Ada juga beberapa kawasan yang dinaiki air sehingga menyebabkan banjir di ladang mereka. Ini adalah sebahagian penyebab mengapa berlakunya kenaikan harga bagi sayuran terutamanya cili. Bagi pengusaha tanaman cili, tahniah diucapkan kerana kenaikan melampau harga cili memang memberi keuntungan yang luar biasa. Purata kenaikan berlaku hampir kepada semua jenis sayuran meliputi sayuran berdaun dan sayuran berbuah. Sayuran berdaun seperti sawi, kangkung, bayam dan salad juga begitu ketara. Bagi harga timun dan kacang bendi juga meningkat dimana timun mencecah RM 2.00 per kg dan bendi RM 4.00 per kg. Alhamdulillah pengeluaran timun dan bendi dari ladang sayur aku mengeluarkan hasil pada masa yang sesuai.
Secara jujur, aku sendiri gembira dengan kenaikan harga sayuran ini kerana mampu menjana keuntungan tambahan namun, kita sebagai usahawantani harus berhati-hati dengan kenaikan harga sayuran ini. Kenaikan harga yang melampau boleh menyebabkan pengguna memilih keperluan lain. Hukum ekonomi menerangkan istilah barang pengganti dimana kita boleh memilih untuk tidak membeli sesuatu barangan disebabkan peningkatan harga yang melampau dengan membeli barangan lain. Sebagai contoh, kenaikan harga sayur bayam yang tinggi menyebabkan pengguna memilih untuk tidak membeli sayur bayam tetapi bertukar kepada sayuran alternatif lain. Ini yang berlaku di pasar tani dan di peringkat runcit.
Sebagai usahawantani, kita perlu meletakkan diri kita di pelbagai peringkat bermula dari peringkat ladang, borong dan seterusnya peringkat runcit. Seorang peniaga sayur di pasar tani kurang berminat untuk mendapatkan bekalan sayuran sekiranya harga terlalu tinggi kerana faktor kesukaran untuk mendapatkan pembeli.
Mungkin penulisan dan pandangan aku ini hanya bersesuaian bagi usahawantani di negeri utara sahaja kerana setiap penulisan berdasarkan pengalaman aku disini. Di kawasan utara berbeza dari segi cuaca, faktor tanah dan permintaan.
Wednesday, December 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment