Saturday, September 20, 2008

Perubahan

Perubahan



Alhamdulillah, setelah beberapa bulan menguruskan operasi ladang sayuran ini, aku memilih untuk melakukan beberapa perubahan, daripada perubahan taktikal sehingga perubahan teknikal. Perubahan ini perlu memandangkan beberapa faktor seperti faktor cuaca, faktor kewangan dan faktor pemasaran. Keseluruhan faktor ini merangkumi aspek pemilihan tanaman sayuran.


Perubahan drastik yang paling ketara adalah penggantian perkerja-pekerja sedia ada dengan pekerja baru seminggu lalu. Kemasukan 1 pekerja daripada Jamber, Indonesia, 1 pekerja tempatan, dan 1 orang pekerja daripada Lombok, Indonesia dan aku masih menantikan ketibaan 1 orang lagi pekerja daripada Lombok. Namun aku masih meletakkan mereka dalam pemerhatian sehingga aku benar-benar berpuashati dengan tenaga dan kemahiran mereka bekerja di ladang ini. Jumlah tenaga kerja yang dikurangkan daripada 5 orang kepada 4 orang sahaja adalah bersesuaian dengan keluasan ladang sayuran ini. Perubahan ini juga telah mengurangkan kos perbelanjaan sebanyak RM500 sebulan.


Perubahan yang sedang disusun dan direncanakan adalah pemilihan jenis tanaman. Beberapa faktor penting seperti yang disebutkan di atas memainkan peranan dalam perubahan ini. Aku meletakkan sasaran pengeluaran sayuran di ladang ini kepada 2 fasa sahaja berbanding 3 fasa sebelum ini. Penumpuan kini lebih kepada sayuran berbuah berbanding sayuran berdaun. Fokus utama tanaman sayuran berbuah kini lebih kepada kacang bendi, kacang buncis, kacang panjang dan timun. Faktor pemilihan sayuran ini kerana insentif kewangan yang diberikan kepada petani. Pada bulan ini saja, sayuran berbuah yang dipasarkan daripada ladang ini melepasi 15 Tan, dan semestinya insentif pertanian yang bakal diterima nanti lumayan. Insyaallah, sekiranya perancangan ini berjalan dengan lancer, aku mensasarkan keuntungan daripada insentif tanaman ini sekitar 1600 sebulan.


Perubahan yang masih dinantikan keberkesananya adalah dari segi penggunaan baja. Pada masa kini, teknik dan jenis baja yang digunakan untuk sayuran berdaun ditukar 100% dimana penggunaan baja baru ini mampu mengurangkan kos operasi sehingga 15% atau bersamaan RM 780. Namun semuanya masih diperingkat awalan dan dalam pemerhatian yang serius. Percubaan dalam merubah teknik pembajaan ini diperoleh hasil daripada perubahan drastik pertukaran tenaga kerja dan pada pendapat aku, kadangkala kita perlu memberi ruang kepada pekerja kita dalam membuktikan kemahiran mereka.



Kesimpulan.

Berdasarkan beberapa perubahan ini, aku menganggarkan lebihan pendapatan sebanyak RM 3300 sebulan, namun semuanya masih dalam perancangan dan sedang melalui tempoh percubaan peringkat pertama. Insyaallah, sekiranya ada rezeki dan semua pelaksanaan rancangan ini lancar, kejayaan perubahan ini boleh dinilai semula pada penghujung bulan Disember akan datang.

No comments: