Saturday, May 10, 2008

Insentif

Insentif

Dasar Jaminan Bekalan Makanan 2008 yang dilancarkan oleh kerajaan amat memberi keuntungan kepada kita dimana, insentif tunai akan diberikan kepada petani bagi menggalakan peningkatan pengeluaran tanaman makanan seterusnya dapat meringankan beban kos operasi ladang. Kadar yang telah dipersetujui adalah seperti berikut:

Tanaman Sayuran = RM 81.00 / tan metrik
Tanaman Buahan = RM 78.00 / tan metrik

Sebagai petani, kita perlu memenuhi beberapa kelayakan dan perlu berdaftar dengan Jabatan Pertanian yang berhampiran. Kita juga akan dibekalkan dengan buku rekod ladang dan setelah melalui proses dan diluluskan, maka kita akan diberi kupon untuk menuntut bayaran di Agro Bank.


Krisis

Dalam keadaan semasa, Negara kita mengalami krisis bekalan makanan yang serius. Persoalan samada krisis ini ekoran pengurangan pengeluaran beras dunia atau pun wujud kemungkinan ada pihak tertentu sengaja mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan dengan menyorok barang keperluan ini. Pada pendapat aku, masalah utama berpunca daripada pengurusan yang tidak effisien dan wujudnya dasar monopoli dalam pengurusan pengeluaran beras negara.

Skim stok penimbal makanan ialah istilah ekonomi yang menjadi penampan kepada jurang permintaan dan bekalan komoditi makanan. Skim ini dapat menstabilkan harga komoditi makanan di pasaran. Kembali kepada teori ekonomi, Krisis ini timbul apabila tidak ada bekalan yang mencukupi untuk menampung lebihan permintaan di pasaran. Dengan adanya stok penimbal ini, maka agensi kerajaan sewajarnya memainkan peranan dengan telus dan berkesan melalui 2 langkah yang berlawanan iaitu sekiranya berlaku lebihan penawaran di pasaran, kerajaan perlu membeli lebihan tersebut dan disimpan sebagai stok dan sekiranya berlaku kekurangan di pasaran, maka agensi perlaksana perlu mengeluarkan stok lebihan tersebut dan menjual kembali di pasaran. Pada pandangan aku, BERNAS tidak menjalankan tanggungjawab secara berkesan untuk melaksanakan fungsi stok penimbal ini, tidak seperti Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). Namun masih belum terlambat untuk BERNAS memperbaiki beberapa perkara dalam pengurusan BERNAS agar mereka melaksanakan stok penimbal ini secara berkesan. Secara peribadi, aku amat bersetuju dengan cadangan FOMCA mengenai kaedah bagi menangani masalah ini.


Hujan

Keadaan cuaca yang tidak menentu di sebelah utara kini menyebabkan tanaman sayuran di ladang ini lambat mengeluarkan hasil. Ada sesetengah tanaman yang telah melangkaui tempoh matang semasa di petik. Ini kerana faktor hujan yang lebat menyebabkan biji benih yang baru disemai dibawa air dan angin kuat yang menyebabkan anak tunas sayur patah. Kesan yang paling ketara adalah tumbesaran sayuran agak terbantut berkemungkinan berpunca daripada kekurangan cahaya matahari. Masalah ini menyebabkan pengeluaran sayuran dari ladang ini terputus beberapa kali. Alhamdulillah, setelah beberapa minggu mengalami masalah ini, akhirnya aku mendapat kaedah yang berkesan dalam menangani masalah ini. Insyallah, pengeluaran bermula 25 May nanti mampu memenuhi permintaan pasaran semula.


Pasaran

Setelah perbincangan dan perancangan yang teliti, aku bersetuju untuk meluaskan kawasan pasaran bagi hasil keluaran ladang ini. Setelah ada sebuah pick up sekarang, mudah bagi kami untuk meluaskan pasaran berikutan sambutan yang amat baik di pasaran baru tersebut. Sasaran membekalkan 1000kg sehari hasil sayuran diletakkan sebagai matlamat utama operasi ladang sayuran kini.

No comments: