Friday, May 30, 2008

FTA

Golongan petani seharusnya mempunyai kesedaran yang tinggi dan perlu mula untuk bersuara sekarang agar Kerajaan meneliti semula rancangan untuk mewujudkan FTA dengan US. Kesedaran ini amat penting kerana sekiranya perjanjian berlaku, maka ini kurang memberi impak positif dalam membangunkan taraf hidup kebanyakkan golongan petani Di Malaysia.

Dengan adanya hak pelaburan dalam FTA sudah pasti syarikat antarabangsa milik asing berpeluang untuk mengambil alih perniagaan berkepentingan di negara kita, seperti syarikat berkaitan kerajaan atau GLC dan secara tidak langsung meletakkan Malaysia dalam era penjajahan baru. Contoh terbaik kesan perjanjian seakan FTA adalah yang pernah berlaku di Chile dimana syarikat US telah mengambil alih kebanyakan syarikat di sektor pertanian yang menjadi nadi utama bagi menjana ekonomi Chile.

Umum mengetahui bahawa cukai Padi di Malaysia adalah 40% dan berkemungkinan turun kepada 20% menjelang tahun 2010. Pandangan daripada beberapa pakar ekonomi negara bersetuju mengenai kesan dan kesukaran pengusaha padi di Malaysia untuk bersaing di bawah AFTA pada kadar cukai 20%. Sekiranya kerajaan tunduk kepada desakan US dalam USFTA, dimana cukai padi akan jatuh kepada sifar, maka kesannya akan di rasai oleh petani di Malaysia dimana mereka tidak mampu bersaing dengan kewujudan secara terbuka di pasaran global mahupun tempatan pengeluaran padi bersubsidi yang import dari US. Sektor Pertanian US yang disokong oleh subsidi yang tinggi oleh kerajaan Amerika bakal dijual di pasaran Malaysia pada harga 25% di bawah kos pengeluaran. Walaupun Malaysia mendapat tarif lebih rendah, namun longgokan subsidi kerajaan US yang tinggi kepada petani mereka bakal menyukarkan produk Malaysia untuk bersaing dan yang pasti tidak wujud kemungkinan untuk petani Malaysia mengeksport ke US kerana pasaran produk US dilindungi oleh cukai-cukai yang mana Perwakilan Perdagangan US (USTR) tidak mempunyai kuasa untuk memberikan pengecualian ke atasnya dan pengurangan subsidi yang tidak menguntungkan US.

Antara kesan awal yang bakal dirasai oleh kebanyakan petani dalam tempoh terdekat ialah bahan kimia pertanian yang digunakan oleh petani-petani berkemungkinan menjadi lebih mahal.


Subsidi Baja

Alhamdulillah, Seminggu lepas, PPK kawasan Changloon telah beri bantuan baja NPK 15:15:15 sebanyak 600kg. Baja import dari korea ini memang sangat elok digunakan untuk tanaman sayuran berdaun. Perbezaan yang ketara dapat dilihat adalah dari segi tempoh kecairan biji baja tersebut berbanding dengan satu lagi baja kimia baru yang sengaja aku gunakan untuk melihat hasilnya. Dengan baja import dari korea ini , kesannya sama seolah-olah menyamai biji baja jenis NPK 16:16:16 yang pernah aku gunakan dulu. Satu lagi baja kimia yang aku cuba ialah NPK 15:15:15+18s+te. Baja ini tidak sesuai digunakan untuk sayuran berdaun kerana tempoh masa untuk baja ini cair dan sebati ke dalam tanah mengambil masa lebih sebulan. Namun aku masih menjalankan ujikaji melalui pemerhatian dimana aku mencari kesan kebaikan baja ini terhadap tanaman sayuran kekacang dan sayuran berbuah.


Subsidi Minyak

Bagi menangani beban kewangan yang semakin meningkat, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan satu mekanisme baru Ogos ini. Ramai orang yang ternanti-nanti apakah bentuk atau mekanisma yang akan di umumkan kelak. Sekiranya, subsidi hanya diberikan kepada pengguna yang layak, kita menunggu apakah kriteria-kriteria yang diletakkan bagi memenuhi kelayakan sebagai mereka yang boleh menerima subsidi minyak. Ini akan memberi kesan kepada peningkatan kos operasi yang melampau seterusnya menyebabkan peningkatan harga barangan dan peningkatan perbelanjaan di luar kawalan. Maka kerajaan telah meletakkan Malaysia ke dalam jurang ekonomi yang jauh lebih teruk melalui peningkatan insflasi secara mendadak. Pada pendapat aku, kebanyakan sektor akan menerima kesan yang jauh lebih teruk seperti sektor perusahaan, perkilangan, pembuatan, pertanian dan kepada isi rumah itu sendiri. Yang paling membimbangkan sekali ialah, bagaimana mereka yang terlibat di IKS mampu untuk menampung kenaikan kos operasi yang kita ketahui, kebanyakan mereka yang terlibat dalam IKS ialah golongan bumiputera. Aku melihat langkah kerajaan melalui mekanisma baru ini sebagai pembunuh sekiranya perancangan yang teliti dan kajian yang mendalam tidak dijalankan sebelum melaksanakan mekanisma baru ini. Aku mengambil contoh mekanisma baru yang dilaksanakan kerajaan untuk mengawal beras di Malaysia. Dengan memperkenalkan warna sebagai perbezaan untuk membezakan gred beras adalah idea yang sangat bodoh dan mengecewakan dimana aku mengharapkan pembaharuan yang lebih bukan sekadar menukar warna plastik pembungkus sahaja. Sekiranya, golongan seperti aku yang terlibat dalam pertanian ini tidak dikriteriakan sebagai mereka yang layak menerima subsidi, maka aku perlu menampung peningkatan kos pengeluaran dan peningkatan kos pemasaran. Seterusnya menyebabkan kenaikan bagi harga sayuran yang dipasarkan dan risiko yang terpaksa di harungi ialah kesanggupan untuk berlawan harga dengan sayuran import dari luar terutamya Thailand. Kesan yang lebih besar kepada umum ialah, peningkatan jumlah pengangguran yang melampau seterusnya meningkatkan kadar jenayah di Malaysia. Harapan aku supaya, PDRM akan membuka kembali tawaran kemasukan ke Kadet ASP kepada mereka yang memegang Ijazah kerana mungkin aku adalah yang terawal untuk memohon kemasukan kerana mungkin itu adalah alternatif terbaik bagi aku untuk melakukan penghijrahan kerja daripada terlibat dalam dunia rasuah politik tanahair.


Tanaman

Pada masa sekarang, tanaman bagi fasa 3 iaitu fasa terakhir telah selesai dimana tanaman giliran pada kali ini dilakukan secara luas. Jadual tanaman yang ketat dengan peningkatan jumlah batas tanaman mampu menjayakan rancangan dan matlamat aku dalam meningkatkan jumlah pengeluaran setelah 2 kali gagal berturut-turut sebelum ini. Biasa la kan, bila menempuh kegagalan demi kegagalan, kita akan banyak belajar dan berfikir untuk mencari jalan atau alternatif lain dalam usaha mencapai matlamat yang diletakkan. Pada kali ini, aku masih mencuba tanaman cili namun, cuma dalam jumlah yang sedikit iaitu sebanyak 1000 pokok sahaja. Harapan aku agar persediaan kali ini mampu mengatasi beberapa kelemahan terdahulu. Tanaman Bendi pula, telah ditingkatkan memandangkan kejayaan sebelum ini dalam mencapai hasil pengeluaran yang disasarkan. Pada kali ini sebanyak 5000 pokok bendi telah di tanam dan sejumlah 5000 pokok lagi akan menyusul dalam tempoh masa sebulan ini. Namun sedikit perubahan di mana tiada lagi tanaman kacang panjang namun telah digantikan dengan tanaman kacang buncis. Faktor utama untuk aku menggantikan dengan kacang buncis ialah kerana kelebihan dalam pasaran dari segi harga bagi kacang buncis berbanding kacang panjang. Pada masa sekarang, harga bagi kacang buncis per kg ialah RM 4.50.

No comments: