Thursday, April 10, 2008

Kejayaan Faktor Cuaca

Mustapa mahu kerap turun padang atasi masalah petani

"Saya bercadang turun ke bawah seminggu sekali berjumpa masyarakat petani, penternak dan nelayan bagi membolehkan saya memahami isu dan masalah mereka kerana matlamat kementerian adalah memberi khidmat terbaik kepada rakyat" Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed


Dasar Kawalan Makanan

Kerajaan bersetuju mewujudkan Dasar Jaminan Kawalan Makanan bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi melalui beberapa kaedah antaranya adalah menggalakkan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) supaya mengusahakan tanah yang belum digunakan dengan penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin termasuk padi.
Melalui peruntukan sebanyak RM 6.9 billion dibawah RMK9. Namun usaha kerajaan bakal menjadi sia-sia sekiranya pengawalan terhadap fungsi atau peranan yang sewajarnya di aplikasi oleh beberapa agensi kerajaan tidak ditingkatkan. Beberapa bulan lepas, semasa aku menghadiri program bicara tani peringkat negeri Perlis, Tan Sri Muhyiddin pernah menekankan konsep 'safety food' iaitu satu dasar bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi diwujudkan segera. Bagi menjamin dasar ini mencapai sasaran, aku percaya pelbagai dana bakal diwujudkan tetapi sejauh mana keberkesanan usaha agensi yang menguruskannya masih boleh dipertikaikan selagi wujud dasar diskriminasi dan karenah birokrasi di peringkat perlaksanaan. Maka pelbagai dasar yang direncanakan di peringkat atasan tidak akan tercapai kerana sikap tidak bertanggungjawab dalam memainkan peranan dan tugas oleh pihak perlaksana. Kerajaan sewajarnya meletakkan kakitangan yang bertanggunjawab di peringkat pertengahan (agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian) yang menjadi medium perhubungan diantara perlaksana dasar (golongan petani) dan perancang dasar (kerajaan) agar tidak menjadi seperti "Ingin hati memandang pulau, sampan ada pengayuhnya tidak.


Serangan Penyakit ( Cili Merah )

Pokok cili yang ditanam di beberapa batas telah terkena serangan hamama (Polyphagotarsonemus latus)iaitu sejenis kutu daun yang amat sukar untuk dilihat dengan mata kasar. Memang sukar untuk mengesan serangan kutu ini pada peringkat awal, dan apabila dikesan pokok yang terkena serangan kutu hamama tu tidak boleh diselamatkan lagi. Daun cili akan menjadi sedikit kekuningan dan merekot ke bahagian dalam. Aku cuba untuk merawat dengan meningkatkan kuantiti copper oxychloride (hihi..bagi korang pening skit) namun tiada kesan yang positif. Ada pendapat dari kawan-kawan dari sebuah forum pertanian mengatakan, sekiranya terkena serangan penyakit ini, diumpamakan pokok cili kita seperti terkena penyakit AIDS dan memang tiada ubatnya melainkan menghapuskan pokok tersebut (cabut pastu bakar saja).


Hujan, Ribut & Angin

Keadaan cuaca yang tidak menentu dimana berlaku hujan lebat dan ribut petir di sebelah petang pada setiap hari menyebabkan ramai petani mula memberhentikan operasi tanaman mereka terutama tanaman jenis sayur-sayuran. Dengan keadaan angin yang kuat dan hujan yang terlalu lebat memang berpotensi untuk merosakkan tanaman jenis sayuran berdaun terutamanya sayur sawi dan bayam. Dari pengamatan aku ke atas beberapa batas tanaman sawi di ladang ini, menunjukkan yang sayur sawi begitu sukar untuk di tanam pada musim hujan ini. Pokok yang baru mula membesar akan terbantut dari segi saiz kelebaran daunnya dan kesan yang paling ketara adalah di batang sayur sawi itu sendiri. Serangan kutu daripada tanaman padi dan tanaman sawit juga akan berleluasa selepas hujan dan yang paling membingungkan aku ialah walaupun di sembur dengan racun kelas tinggi bahan lengainya, kutu-kutu ini masih boleh menari-nari kegembiraan (seolah-olah kutu ini dilahirkan dalam kepekatan racun tersebut). Namun aku berpegang kepada kepercayaan yang tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Keadaan cuaca ini dijangka berterusan sehingga bulan Jun nanti dan kesimpulan di sini pada pandangan aku ialah bagaimana faktor cuaca berjaya dalam mempengaruhi sesuatu pasaran.


Sayuran Tempatan vs Sayuran Import

Pada peringkat permulaan dulu, aku begitu rungsing dan takut untuk memasuki pasaran sayuran di kawasan utara ini kerana di sini merupakan pintu masuk sayuran yang diimport dari Thailand. Bayangkan sayur sawi yang dibawa dari Thailand dijual pada harga RM 0.60 per kg. Harga tersebut merupakan harga kos bagi pengeluaran sayuran sawi di ladang aku. Namun kuantiti pengeluaran sayuran jenis berdaun di ladang aku berjaya ditingkatkan kerana kecenderungan pembeli dikawasan ini lebih kepada sayuran tempatan terutamanya pembeli berbangsa cina. Mungkin mereka lebih mementingkan kualiti dan tahap kesihatan kerana sedia maklum, kebanyakan sayuran dari negara Thailand menggunakan peratusan racun yang tinggi bahan lengai dan bahan aktifnya. Pada minggu ini, harga sayur sawi dari Thailand mencecah RM 1.50 per kg. Ini kerana faktor kekurangan sayur sawi tempatan berpunca daripada keadaan cuaca yang menyukarkan proses penanaman. Begitu juga yang berlaku di ladang sayur aku, kami tidak mampu menampung permintaan yang tinggi sehinggakan sayur yang belum mencapai tempoh matang pun terpaksa di cabut. Langkah yang terpaksa aku ambil ialah dengan mengawal jumlah pengeluaran dalam tempoh 1 minggu. Kebaikan yang mampu di jana kesan daripada langkah ini ialah, aku mampu untuk memanipulasikan harga sayuran di pasaran sedia ada agar meningkat sehingga 30%.

Jumlah pengeluaran kacang bendi dan kacang panjang di ladang aku semakin menyusut seiring dengan penyusutan harga di pasaran dan aku akan memulakan tanaman baru bagi kacang bendi dan kacang panjang ini apabila harga pasaran betul di peringkat terendah. Harga pasaran bagi kacang bendi sekarang ialah RM 2.40 per kg namun aku masih dapat mengekalkan harga pada RM 3.00 per kg. Harga terendah pernah dicatatkan di kawasan pasaran ini ialah RM 0.80 per kg. Harga begitu terjadi kerana berlakunya lambakan kacang bendi hasil pengeluaran serentak dari petani-petani sekitar kawasan ini. Dan aku menantikan penurunan yang terendah bagi harga pasaran untuk kacang bendi sebelum memulakan tanaman yang baru iaitu kira-kira pada harga diantara RM 1.00 ke RM 1.50 per kg memandangkan kebanyakan petani di kawasan ini mula mengeluarkan hasil kacang bendi mereka sekarang.

Satu lagi jenis sayuran daripada negara Thailand yang berjaya mengawal pasaran (melalui kuantitinya) di utara ini ialah Kacang Buncis. Aku hairan kenapa petani di sini kurang untuk mengusahakan tanaman ini. Harga pasaran untuk sayur ini ialah RM 4.00 per kg ( wow..mcm harga cili !!! ). Rata-rata pasar di sini memasarkan kacang buncis yang di import dari Thailand. Aku akan berusaha untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tanaman ini dan potensi pasarannya di sini. Begitu juga dengan cili api / cili burung. Kebanyakan di bawa masuk juga dari negara jiran. Mungkin proses penjagaan dan pengawalan bagi tanaman ini sedikit leceh terutama semasa memungut hasil menyebabkan tanaman ini kurang diminati walaupun harga pasaran bagi cili ini pernah mencecah hampir RM 20.00 per kg. Insyaallah, aku mesti mencuba tanaman ini pula.


Modal Tambahan

Bulan ini merupakan bulan ke lima operasi ladang sayuran Mega Samudera Sdn bhd. Walaupun banyak kesilapan kecil yang berlaku selama ladang ini beroperasi, namun ia tidak menjejaskan keseluruhan operasi ladang. Aku juga telah menambah suntikan modal tambahan agar keseluruhan ladang dapat beroperasi semaksimum mungkin dan pengeluaran dapat di tingkatkan dalam jangka masa terdekat.

No comments: