Sunday, April 20, 2008

Elaun dan Cukai

Alhamdulillah, beberapa urusan penting berkaitan syarikat aku dah diselesaikan selama satu minggu aku kat Selangor nie. Antaranya urusan berkaitan pertukaran syer syarikat, perakaunan & audit dan beberapa urusan lain berkaitan kewangan & perniagaan di sini. Urusan di ladang diamanahkan kepada bapa saudara aku selaku pengurus di kedah untuk menguruskan selama ketiadaan aku dan insyaallah, pejabat cawangan di Kedah akan beroperasi sepenuhnya bulan hadapan. Semasa menyelesaikan urusan berkaitan perakaunan dan audit untuk syarikat, aku dapat mempelajari beberapa kebaikan bagi kita sebagai usahawantani di Malaysia.


Elaun Pertanian

Mereka yang mengusahakan aktiviti pertanian boleh menuntut elaun modal dan elaun bangunan perindustrian khas di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk perbelanjaan modal tertentu. Perbelanjaan modal yang layak termasuk perbelanjaan yang ditanggung termasuk:

• Penyediaan loji dan jentera.
• Penanaman tanaman.
• Pembersihan dan penyediaan tanah.
• Pembinaan jalan.


Elaun Cukai Pelaburan

Alternatif kepada Taraf Perintis, syarikat-syarikat yang menghasilkan produk-produk digalakkan atau terbabit dalam aktiviti digalakkan boleh memohon Elaun Cukai Pelaburan (ITA). Sebuah syarikat yang diberikan ITA layak untuk mendapatkan elaun sebanyak 60% ke atas perbelanjaan modal yang layak ditanggungi dalam tempoh lima tahun dari tarikh perbelanjaan modal yang layak pertama dilakukan.


Pesta Songkran

Penduduk Thailand meraikan Pesta Songkran iaitu satu temasya yang banyak menggunakan air dan hari tersebut merupakan hari cuti bekerja bagi masyarakat Thailand. Kesan yang paling ketara ialah penawaran sayur-sayuran yang terhad sehingga menyebabkan bekalan sayuran terutama sayur sawi dan kekacang hampir putus di kawasan utara ini. Impak daripada pengurangan bekalan di kawasan pasaran ini telah meningkatkan harga bagi setiap kg sayuran. Begitu juga yang berlaku di ladang sayuran aku, seperti yang aku rancang sebelum ini iaitu menghadkan pengeluaran sayuran selama 1 minggu bagi mengawal kualiti yang dikeluarkan memenuhi kriteria dan mencukupi tempoh matang. Maklumat pasaran yang diterima menunjukkan harga Sawi Putih meningkat begitu tinggi iaitu RM 12 per 5kg. Ini bermakna harga bagi setiap kg sawi ialah RM 2.40 dan sedikit peningkatan bagi sayuran jenis bayam dan kangkung. Namun, harga sayuran di ladang sayuran aku masih relevan dan tidak membebankan pembeli. Walaupun aku menjangkakan peningkatan sehingga 30% tetapi atas beberapa faktor, aku menghadkan peningkatan sekadar 20% sahaja. Harga sayuran sawi di ladang aku sekarang ialah RM 1.80 per kg dan begitu juga dengan beberapa jenis sayuran berdaun lain dimana peningkatan harga cuma sehingga 20%.


Agropelancongan

Aku begitu tertarik apabila mendengar cerita daripada seorang rakan yang baru pulang dari New Zealand mengenai konsep agro-pelancongan yang kebanyakan diamalkan oleh petani di sana. Di negara kita,walaupun telah lama konsep ini di perkenalkan dan digalakkan oleh kerajaan, namun konsep ini belum meluas diusahakan. Secara jujur,aku mengakui belum arif mengenai konsep ini dan pulangan yang bakal diperolehi tetapi aku begitu minat untuk mendalami konsep ini.


Sumber Rujukan

Sehingga kini, aku menggunakan sumber rujukan terbitan MARDI sebagai panduan dalam menjalankan operasi ladang sayur ini. Dari segi pengiraan kos dan anggaran pendapatan sehingga la penggunaan racun dan pemilihan tanaman sayuran yang berpotensi. Namun apabila berlaku peningkatan kos bagi beberapa jenis racun, baja dan benih sayuran beberapa buku tersebut kurang sesuai dijadikan rujukan bagi mereka yang mula menceburi bidang ini cuma formula dan kaedah pengiraan masih relevan digunakan.

No comments: