Monday, March 10, 2008

Harapan Baru

Assalammualaikum

Bahang pilihanraya umum kali ke 12 belum lagi reda. Rakyat akan mula menagih janji-janji manifesto yang ditaburkan. Walaupun aku tidak terlibat secara langsung dalam mana-mana pertubuhan politik, sedikit sebanyak aku meletakkan pengharapan kepada pimpinan kerajaan baru negeri kedah terutama dalam meneruskan dan menggerakkan sektor pertanian di negeri kedah ini sejajar dengan perancangan pentadbiran terdahulu dan sejajar dengan matlamat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kita memerlukan suatu perubahan dan pembaharuan yang besar dimana kita memerlukan satu proses transformasi yang akan mengubah sektor pertanian kepada satu sektor yang berasakan perdagangan ataupun perindustrian. Dalam merealisasikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport bahan makanan menjelang 2010, pendekatan yang strategik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat amat perlu terutama dalam menyediakan kemudahan dan infrastruktur lengkap kepada petani.


Dimana Bantuan Yang Dijanjikan?

Baru-baru ini heboh di media mengenai insentif / elaun khas untuk membantu petani dalam menghadapi kenaikan harga input pertanian agar petani mampu meneruskan usaha dalam bidang pertanian. Alhamdulillah, kerajaan telah menyediakan beberapa dana bagi membantu petani melalui pelbagai skim, elaun dan bantuan. Namun langkah tersebut tidak direalisasikan oleh organisasi yang diamanahkan. Pelbagai karenah birokrasi terpaksa dihadapi oleh petani sebelum menerima bantuan. Bagi petani seperti aku, mungkin tidak menjadi persoalan kerana walaupun tidak menerima bantuan, namun syukur kerana aku mampu untuk mengusahakanya sendiri. Bagaimana dengan nasib petani-petani lain terutama mereka yang baru mula untuk menceburi bidang ini? Secara kasar, aku mengatakan di Jabatan Pertanian dan PPK sendiri wujud karenah dan penipuan dalam merasionalisasikan hasrat kerajaan. Aku sendiri dijanjikan dengan pelbagai bantuan sehinggalah menerima replika cek berjumlah RM 19,348.00 namun yang diterima oleh aku cuma sebuah pam air yang berjumlah kira-kira RM 2000.00 dan itu pun dalam bentuk pinjaman. Kini baru aku sedar mengapa kebanyakan pengusaha ladang sayuran berbangsa cina amat marah kepada agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani sehingga tidak membenarkan Pegawai Pertanian melawat ke ladang mereka. Aku sendiri sekarang sedang berusaha untuk tidak terikat dengan agensi-agensi tersebut lagi.


Secret vs keterbukaan

Sesetengah pendapat mengatakan, kerajaan BN terlepas 5 negeri kerana sikap keterbukaan pimpinan Dato Seri Abdullah dalam mentadbir kerajaan. Beliau sewajarnya mengaplikasikan dasar tertutup dalam pentadbiran sepertimana zaman pentadbiran Tun Mahathir. Hubungkait dasar seperti ini berlaku kepada kebanyakan pengusaha tanaman sayuran terutama pengusaha yang berbangsa cina. Kebanyakan pengusaha ladang sayuran mempunyai "Secret Recipe" terutama dalam ilmu pertanian. Daripada pemilihan benih tanaman, kaedah campuran racun sehingga kepada teknik penjagaan tanaman. Tips-tips dan ilmu yang mereka perolehi ini amat sukar untuk dikongsikan kepada orang lain. Perbandingan mudah diantara hasil tanaman pengusaha ladang sayuran milik bangsa cina dan bangsa melayu. Bagaimana mereka mampu mengeluarkan hasil tanaman yang berkualiti dengan kuantiti yang maksimum namun pada tingkat kos yang minimum. Berpegang kepada prinsip ini, aku mula untuk mengamalkan dasar tertutup terhadap operasi ladang sayuran aku. Pada masa sekarang , aku berusaha untuk mengurangkan jumlah pelanggan yang datang terus ke tapak ladang untuk mendapatkan hasil sayuran. Ini kerana terdapat pelanggan aku sendiri sekarang adalah terdiri daripada pengusaha tanaman sayuran. Operasi pengeluaran yang strategik dan pergerakan pemasaran yang effisen melalui konsep ini mampu menjana satu peluang berbentuk pulangan yang baru. ( insyaallah aku akan berkongsi pandangan ini pada penulisan akan datang )


Kaedah Meningkatkan Hasil Pengeluaran

• Menggunakan benih bermutu,baja yang effesien dan sukatan campuran racun yang tepat.
• Memilih tanaman terbaik sesuai dengan lokasi, jenis tanah dan tanaman persekitaran.
• Mengikuti amalan pertanian baik yang disyorkan.
• Mengamalkan kombinasi campuran antara tanaman.
• Mengurangkan kerosakan atau kehilangan hasil lepas tuai melalui kaedah yang bijak.


Manipulasi Harga

Setelah beberapa bulan aku menceburi bidang pertanian ini, aku mula faham akan keadaan dan situasi yang sering membelenggu kebanyakan golongan petani terutamanya petani-petani kecil dari segi pembekalan dan pemasaran hasil pertanian mereka. Peningkatan dan penurunan harga yang di luar kawalan berpunca daripada faktor manipulasi yang dilakukan oleh kebanyakan pemborong-pemborong besar. Alternatif terbaik untuk mengelakkan dari terjebak ke dalam aliran manipulasi harga ini adalah dengan mewujudkan rangkaian pengeluar sesama petani. Aku sendiri tidak terlepas daripada menjadi mangsa dalam permainan memanipulasikan harga oleh kebanyakkan pemborong. Penurunan harga yang begitu ketara walhal mereka mampu mengaut keuntungan berlipat ganda akibat penurunan ini. Petani ditekan dan dibebankan melalui harga belian yang rendah namun tidak memberi kesan kepada harga yang dibayar oleh pengguna akhir di pasaran dimana pengguna masih membayar pada harga yang sama. Pandangan aku, dalam merealisasikan sistem pemasaran untuk mengurangkan perantaraan pasaran serta memastikan harga yang berpatutan bagi pengeluar dan pengguna adalah memperbaiki saluran pemasaran. Namun begitu, peranan sebenar yang sepatutnya dimainkan oleh FAMA amat mengecewakan dimana peranan FAMA sekarang lebih kepada menjana keuntungan daripada menjadi medium pemasaran antara pengeluar dan pengguna. kebocoran ini telah membuka peluang kepada pemborong-pemborong besar memanipulasikan harga. Aku suka untuk berkongsi satu peristiwa yang berlaku pada minggu lepas. Seorang pelanggan tetap aku yang cuba memainkan harga sayuran daripada RM 1.20 kepada RM 0.80. Konsep yang sama digunakan oleh kebanyakan golongan pemborong sayuran. Pada peringkat awal, beliau cuma membuat pesanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi pada harga yang tinggi. Sepanjang minggu, beliau mula menurunkan harga sedikit demi sedikt seiring dengan peningkatan jumlah pesanan. Namun, aku cepat sedar taktik permainan beliau dan aku membuat keputusan untuk menghentikan jualan kepadanya.

No comments: