Sunday, February 10, 2008

Segar dari ladang

Assalammualaikum

Syukur Alhamdulillah, operasi ladang sayur dari segi pengurusan, pemasaran dan pengeluaran berjalan seiring dengan perancangan yang aku tetapkan. cuma pada peringkat awal begini aku mengakui kesalahan dan kesilapan kecil tidak dapat aku tangani dan terpaksa menerima yg tidak semuanya mampu di sempurnakan sehingga 100%. Sehingga hari ini genap 15 hari ladang sayuran aku mengeluarkan hasil dan sayuran yang dikeluarkan adalah bayam, kangkung, sawi, kailan dan salad. Walaupun wujud kelompongan kecil dalam circle pengurusan ladang ini, namun aku masih berbangga kerana pengeluaran ladang sayur nie melepasi target atau matlamat selama 15 hari berturut-turut.


Matlamat 1000kg sehari.

Mungkin agak awal untuk aku mensasarkan matlamat pengeluaran 1000kg sehari. Namun aku percaya ladang sayur ini mampu mencapai target ini selepas beroperasi sepenuhnya. Insyaallah, kerja-kerja fasa ke 3 akan bermula hujung minggu ini. Aku rasa adalah lebih baik aku menambahkan modal dan terus mengembangkan operasi ladang sayur ini sendiri. Memang agak melampau @ tidak munasabah bagi aku mensasarkan pengeluaran 1000kg sehari kerana aku budak mentah yang baru memasuki bidang pertanian ini. Tapi selagi aku tak buat sampai bila-bila pun aku tak akan tahu kan...so...pandai-pandai la aku bermain dengan risiko...


Pasaran

Secara jujurnya aku mengakui yang pengeluaran hasil ladang sayuran kini bagi satu hari sendiri tidak mampu memenuhi permintaan pasaran walaupun hanya di sekitar kodiang, Kedah. Pada peringkat perancangan dulu, aku mensasarkan hampir 10 pasar sehari dan pasar malam untuk menjual 500kg kombinasi sayuran sehari. Tetapi pada masa sekarang, aku cuma sempat memasarkan hasil sayuran kepada 1 pasar sehari dan 4 orang pelanggan tetap sahaja. Itu pun tidak mampu menampung permintaan dan ada hari-hari tertentu aku terpaksa mengagih-agihkan pengeluaran kepada semua pelanggan. Sehingga ada dikalangan pelanggan aku yang datang mengambil sendiri sayur di ladang. Benarlah jangkaan aku dulu, sayuran tempatan lebih diminati berbanding sayuran Thailand dan paling utama elakkan daripada menggunakan khidmat orang tengah (pemborong) dalam memasarkan hasil ladang anda.


Bank Pertanian.

Pada hari selasa lepas, En Fauzi dari Bank Pertanian Kangar datang melawat ladang sayuran aku. Hari tu juga la dia bawa semua dokumen berkaitan pinjaman untuk aku tandatangan dan di ladang itu juga la majlis akad (perjanjian pinjaman) di buat. Mengikut kata En Fauzi, dia minta aku hadir ke majlis pertemuan petani-petani negeri Perlis bersama Menteri Pertanian pada 12 februari ini bertempat di Dewan Wawasan 2020, kangar, Perlis dan aku adalah salah seorang daripada peserta yang menerima bantuan daripada Bank Pertanian pada hari tersebut dimana majlis penyerahan di buat oleh Menteri Pertanian sendiri. Apa-apa pun sekali lagi jutaan terima kasih aku ucapkan kepada pegawai kakitangan Bank Pertanian cawangan kangar terutama En Fauzi kerana menguruskan urusan berkaitan pinjaman aku dengan cepat dan mudah.


Jabatan pertanian.

Pada hari ini pula, En. Roslin dari Pertubuhan peladang Kawasan changloon telefon memaklumkan supaya aku menghadirkan diri ke majlis Bicara tani di alor Setar pada 12 februari di Alor Setar. Aku dimaklumkan yang aku juga bakal menerima bantuan Pam Air dan majlis penyerahan juga akan dilakukan oleh YB Menteri Pertanian iaitu Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin b Hj Mohd Yassin. sekali lagi peristiwa begini berulang. hari tu 2 pinjaman aku diluluskan pada hari yang sama dan kali ini pula dapat bertemu YB Menteri pada hari yg sama di sebelah pagi dan di sebelah petang. Kali ini aku menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian pula. Terima kasih juga kepada kakitangan PPK Changloon terutama En Roslin.


Masalah

Pada minggu pertama jualan agak kelam-kabut dan pengurusan perakaunan agak berterabur. Ini disebabkan pengurusan kewangan yang lemah dan apabila aku melihat permasalahan ini, aku terus mengambil alih semula pengurusan akaun dan buat masa sekarang aku sendiri yang menguruskan kewangan. Dan masalah utama sekarang adalah di kalangan pekerja indonesia di ladang nie. "ermm..." agak sukar menceritakan, kesimpulannya berkaitan dengan gaji. Apabila pekerja aku mohon kenaikan gaji walaupun baru 2 bulan bekerja...Namun aku tidak berapa risau kerana banyak kaedah untuk aku gunakan dalam memotivasikan pekerja-pekerja ini melalui kaedah win win situation.


Rumusan dan Pandangan.

Setelah hampir 3 bulan aku terlibat secara langsung dalam bidang pertanian, aku dapati terlalu penting sesuatu perancangan yang teliti dan teratur sebelum menceburi bidang ini. Amat penting sekali ialah perancangan awal untuk menyediakan jadual kerja yang efisien. Di sini aku nampak peranan sebenar yang seharusnya dimainkan oleh agensi kerajaan terutamanya Jabatan Pertanian dalam memberikan khidmat nasihat. Namun aku kurang bernasib baik kerana aku melangkah menceburi bidang pertanian ini tanpa mendapat khidmat nasihat dan tanpa bimbingan daripada sesiapa. Kerana itu aku terlepas pandang beberapa aspek penting seterusnya menbazirkan banyak masa. Aku percaya, sekiranya seseorang itu mendapat bimbingan yang betul, untuk membuka ladang sayur seperti ini cuma mengambil masa 2 minggu untuk beroperasi dan jangkaan hasil pengeluaran kurang daripada 1 bulan seterusnya menjimatkan perbelanjaan modal dan dapat meminimumkan penggunaan masa. Atas kesedaran ini, aku menjemput kawan-kawan yang berminat untuk berusaha dalam bidang pertanian bersama-sama berkongsi pengetahuan dan pengalaman melalui khidmat nasihat dan bimbingan.


Berkemungkinan penulisan selepas ini, aku akan banyak berkongsi mengenai sesuatu tanaman dan kaedah penjagaan setiap sayuran. Semoga sumbangan kecil yang bakal dibuat ini mendapat keberkatan dan sokongan daripada kawan-kawan semua.


PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN

1 comment:

syia said...

awk teruskan menulis.. syia suke baca :)