Wednesday, February 20, 2008

Permasalahan

Assalammualaikum

Minggu nie byk aku dapat panggilan drpd rakan-rakan yang baru dikenali. Ada kenalan daripada forumer-forumer yang aku pernah kenali dan ada kenalan baru yang dikenali melalui laman blog nie. Ada diantara kawan-kawan yang telah datang melawat ladang sayur ini. Terima kasih kerana sudi datang. Seperti yg aku ceritakan di dalam telefon, Benar. Pada mulanya aku menganggap menceburi bidang pertanian nie adalah sekadar untuk berpaut sebentar di satu dahan pokok agar tidak terjatuh ke tanah. Pada bulan Julai 2007, business aku mulai mengalami sedikit masalah dan pusingan modal semakin hari semakin susut. aku nampak satu bidang yang mampu untuk bertahan agar tidak jatuh terlalu teruk adalah dengan menceburi bidang pertanian dimana pelaburan baru ini mampu meraih pusingan modal yang pantas. Based on zero knowledge dlm bidang pertanian, aku mula mencari dan mengkaji satu pelaburan baru dan mulanya, minat aku tertumpu pada tanaman serai dan cili selepas melawat projek cili rakan aku dan berbincang dengan seorang pemuda yang menceburi bidang tanaman serai sehingga la bapa saudara aku mencadangkan tanaman sayuran dan memperkenalkan kenalan beliau kepada aku. Dari situ aku mula mencari peluang dan cabaran dalam bidang ini agar aku mampu melaksanakanya. Alhamdulillah, sehingga kini dah 3 bulan aku dalam bidang pertanian malahan perasaan minat mulai dirasai.



Permasalahan

Pada minggu ini, harga sayuran di pasaran menurun dengan mendadak. Ini mungkin berpunca daripada penawaran sayur yang berlebihan akibat pengeluaran secara serentak dalam tempoh masa yang sama. Import sayuran dari Thailand juga melambaki setiap pasar-pasar terutama sayuran sawi. Buat pengetahuan kawan-kawan, Pekan Changloon, Kedah merupakan ‘based’ untuk sayuran import dari Thailand memasuki pasaran ini sebelum diedarkan ke seluruh Negara terutama Negeri Pulau pinang. Alhamdulillah, harga sayuran aku masih terkawal cuma mengalami sedikit penurunan sekitar 0.10 sen ke 0.20 sen bagi setiap kg.

Ladang sayuran aku mengalami sedikit masalah dari segi hasil pengeluaran dimana bermula dari tarikh 14 Feb hingga 18 Feb tempoh hari, sayuran yang dikeluarkan adalah dibawah paras sasaran. Semuanya mungkin berpunca daripada beberapa batas tanaman lambat mengeluarkan hasil berkemungkinan akibat pH tanah di bawah 5.0.

Masalah yang paling utama sekarang adalah dikalangan pekerja aku. Diorang pula sudah pandai meminta. Selepas aku cuba berbincang tempoh hari berkenaan kenaikan gaji dan aku mempersetujuinya, sekarang diorang minta pula elaun bulanan dan OT. Adeiiiiiii…hahaha…macam kerja office la pula. Buat masa sekarang gaji yg aku bayar adalah RM 700 dan perbelanjaan makanan untuk sebulan di beri percuma. Aku rasa bukan lagi masa untuk aku berlembut dan aku perlu segera bertindak tegas sebelum keadaan menjadi lebih rumit.

( bila terjadi 3 permasalahan begini membantutkan hasrat aku untuk mensasarkan pengeluaran 1000 kg sehari namun aku percaya ada penyelesaian yang terbaik untuk menyelesaikan setiap masalah ini.)



Pandangan Peribadi.

Pada 12 Feb 2008 tempoh hari, aku telah menghadiri 2 majlis bicara pertanian anjuran LKIM di Kedah dan anjuran Jab Pertanian di Perlis. Pada sebelah pagi, aku menerima replica cek bantuan Pam Air daripada Jabatan Pertanian Kedah sebanyak RM 19,348.00 dan pada sebelah petang pula bertempat di Dewan 2020 Kangar, Perlis aku menerima replica cek Pinjaman SUTKS daripada Bank Pertanian sebanyak RM 50,000.00. Namun bukanlah itu yang menarik minat aku, tetapi ucapan dua orang menteri yang lebih menarik minat aku. Di bawah adalah pandangan peribadi aku respons daripada ucapan kedua-dua Menteri tersebut:-


Tan Sri Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin

Usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di bawah kuasa Tan Sri untuk mewujudkan situasi food safety di Malaysia bakal mencungkil perhatian di kalangan usahawantani untuk menceburi peluang yang lebih luas. Sumber bekalan makanan yang mencukupi di dalam Negara tanpa pergantungan yang tinggi dari sumber luar perlu diwujudkan dengan segera. Berpandukan Krisis Kewangan pada tahun 1998 kita semakin sedar akan perlunya peningkatan dalam aspek keselamatan makanan negara melalui pengeluaran makanan sendiri dan menyusun strategi bagi mengurangkan pergantungan makanan dari negara luar. Namun sedikit kekesalan saya diatas fungsi dan tanggunjawab Badan dan Jabatan dibawah Kementerian Tan Sri dalam merealisasikan harapan tersebut. Setiap jabatan diperingkat Negeri seharusnya memainkan peranan yang lebih aktif dalam usaha membantu golongan petani tanpa mempunyai kepentingan dalam sesuatu masa. Tempoh masa dan bentuk bantuan kepada golongan petani seharusnya lebih efisien memandangkan tanggungan yang perbelanjaan ladang yang semakin meningkat.


Dato Seri Shahidan Bin Kasim


Usaha Dato Seri mewujudkan usahawan tani di negeri perlis patut di contohi oleh negeri-negeri lain. Dengan 2 sasaran projek pertanian dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri perlis. Projek 1 Juta tanaman cili fertigasi dan projek 1 Juta ternakan ikan keli yang dilancarkan begitu menarik minat saya dan saya percaya, rakyat negeri perlis harus berbangga dengan usaha dato seri dan kakitangan kerajaan negeri perlis yang terlibat. Namun, sedar atau tidak, saranan dato seri untuk mewujudkan lambakan hasil pertanian di Perlis amatlah mendukacitakan. Situasi negatif bakal berlaku kesan daripada kejayaan merancang lambakan hasil pertanian seterusnya membunuh kewujudan petani yang sediada. Buat pengetahuan Dato Seri, impak daripada Liberalisasi perdagangan di bawah WTO dan AFTA yang bakal diwujudkan sahaja akan menyebabkan petani negara menghadapi persaingan lebih sengit daripada negara-negara pengeluar yang lain yang mempunyai kelebihan kos pengeluaran yang rendah. Lambakan hasil pertanian dijangka akan berlaku apabila sekatan bukan tarif di negara ahli yang mempunyai kos pengeluaran lebih tinggi dihapuskan. Dengan kos pertanian yang meningkat melebihi 40%, petani kita tidak mampu menyaingi harga, tambahan pula dengan saranan Dato Seri mewujudkan lambakan hasil pertanian terutama cili merah. Yang paling ditakuti oleh pengeluar/petani/usahawantani ialah apabila lambakan cili berlaku, kita akan terperangkap di dalam hukum ekonomi hasil daripada impak penawaran yang melebihi permintaan. Untuk pengetahuan Dato seri, dalam konteks ekonomi kita perlu percaya iaitu wujud ‘invisible hand’ yang mengawal keseimbangan sesuatu pasaran. Jadi, cadangan Dato Seri untuk menetapkan harga cili pada RM 5.00 per kg tidak akan tercapai malahan memungkinkan penurunan harga di luar kawalan akibat limpahan pengeluaran cili. Contohnya harga cili di negeri perlis pernah turun sehingga paras RM 1.00 per kg. Cadangan saya ialah Dato Seri seharusnya perlu lebih memberi tumpuan dalam bidang pemasaran berbanding pengeluaran. Dato Seri boleh mewujudkan satu badan yang mampu mengawal hasil keluaran dan menguruskan pemasaran baginya. Dato Seri perlu menggerakkan agensi kerajaan di peringkat negeri seperti FAMA agar memainkan perananya tanpa perlu menjana keuntungan dalam membantu memasarkan hasil pertanian agar petani kita tidak di tekan dengan kualiti harga yang rendah .


Perkongsian Maklumat Pertanian.

Aku ingin berkongsi ilmu pertanian yang diamalkan oleh kebanyakan orang-orang tua di kampung aku. Ia adalah berkaitan dengan kesesuaian jenis tanaman mengikut hari. Alhamdulillah, aku dah mengamalkanya dan syukur kerana semua jenis tanaman menjadi tetapi aku kurang pasti adakah konsep ini mengikut syarak. Berikut adalah tempoh masa dan kesesuaian hari untuk memulakan tanaman.

Ahad : Sayuran jenis batang seperti Kangkung
Isnin : Sayuran jenis ubi seperti ubi kayu dan keledek
Selasa : Sayuran jenis berdaun lebar seperti Sawi, Bayam dan Kailan
Rabu : Tak digalakkan untuk sebarang jenis tumbuhan
Khamis: Sesuai untuk tanaman jenis buah-buahan yang kecil
Jumaat : Sesuai untuk tanaman Jenis Buah-buahan besar seperti Kelapa
Sabtu : Sesuai bagi tanaman jenis berbuah lebat seperti Kacang bendi dan Cili

1 comment:

Anonymous said...

bila MB perlis tanam 1 juta cili mmg ader effect kepada pekebun kecil/besar... Nampaknya harga cili nanti mesti merudum lagi..