Assalammualaikum & Salam Sejahtera
Syukur Alhamdulillah sudah genap 30 hari pengeluaran hasil sayuran dari ladang sayur ini. Dalam tempoh 30 hari ini, sambutan daripada pelanggan amat membanggakan dan kami telah mengenalpasti pelanggan-pelanggan yang boleh di kategorikan sebagai pelanggan tetap. Walaupun pasaran kami hanya tertumpu di 2 pasar sahaja, kami telah mendapat 5 orang pelanggan setia dimana mereka membeli hasil sayuran setiap hari. Namun, sedikit kekecewaan kerana kami gagal untuk mencapai sasaran iaitu pengeluaran sebanyak 15000kg (15 tan) sebulan. Insyaallah, kegagalan pencapaian jualan pada bulan pertama ini akan diperbaiki kerana masalah utama telah dikenalpasti dan sedang di perbaiki dari semasa ke semasa.
Lambakan Kangkung
Di kawasan pasaran yang aku masuki sekarang, berlaku lambakan sayuran terutama sayur kangkung. Ini berpunca daripada keadaan cuaca dimana dalam keadaan cuaca panas sebegini, sayuran jenis berdaun amat mudah untuk ditanam tetapi memerlukan bekalan air yang mencukupi. Memenuhi keperluan itu, kebanyakan orang-orang kampung yang menjadikan pertanian sebagai hobi mampu mengeluarkan hasil tanaman terutamanya sayur kangkung. Kesannya, berlaku penawaran sayur kangkung yang banyak di pasaran dan memungkinkan penurunan harga. Dalam rekod pengeluaran sayur di ladang aku menunjukkan, pesanan yang diterima daripada pelanggan menurun dengan mendadak bagi sayur kangkung sehinggakan aku terpaksa memusnahkan 4 batas tanaman kangkung dengan anggaran sebanyak 800kg. Alasan kukuh untuk aku berbuat demikian adalah bagi mengawal harga sayur kangkung di kawasan pasaran aku daripada jatuh di bawah paras harga sebenar.
Pasar Borong
Aku telah cuba untuk memasarkan hasil sayuran ke pasar borong dan aku telah memilih pasar borong Kangar, Perlis. Ada 2 sebab mengapa aku memilih pasar borong ini.
1. kerana lokasi pasar borong ini terletak berhampiran kawasan ladang sayur aku iaitu sekitar 17km sahaja. 2. kerana kebanyakan hasil sayuran di pasar borong ini adalah sayuran dari negara Thailand. Agak susah juga percubaan aku untuk mendapatkan pasaran di sini. Dari pemerhatian aku, kebanyakan peniaga di sini tidak mementingkan kualiti tetapi lebih kepada perletakan harga yang rendah. Terus terang aku katakan, bukan lagi masa yang sesuai untuk aku melangkah masuk memasarkan hasil sayuran di pasar borong ini kecuali aku mahu melelong hasil sayuran dari ladang aku. Namun, aku banyak belajar mengenai teknik pemasaran semasa berbual dan berkenalan dengan beberapa peniaga di pasar borong ini. Mungkin pasar ini bakal menjadi tempat untuk aku melonggokkan hasil sayuran yang kurang elok, jenis tanaman yang telah melepasi hari atau untuk menggelakkan lambakan sayuran yg pernah berlaku di kawasan pasaran sekarang seperti sayur kangkung baru-baru ini.
Cili / Bendi / Kacang panjang
Tempoh semaian yang telah melewati masa menyebabkan aku memilih untuk menanam cili di batas-batas yang sedia ada. Ini kerana kerja-kerja di kawasan fasa 3 yang belum siap sepenuhnya. Kawasan fasa 3 yang belum dipagarkan sering menjadi tumpuan sekumpulan lembu yang mencari makan. Jadi alternatif yang terbaik ialah dengan memindahkan cili ke batas-batas yang telah ditanam dengan bayam dan sawi. Jadi kami perlu lebih berhati-hati semasa mahu mencabut hasil bayam dan sawi nanti kerana dikhuatiri akan merosakkan tanaman cili. Bagi pasaran cili besar ini nanti, aku sedang mengusahakan satu perbincangan lanjutan dengan sebuah syarikat pengeluar sos cili tempatan milik seorang bumiputra setelah beliau menawarkan peluang untuk menjadi salah seorang pembekal cili di kilangnya. Namun segalanya masih di peringkat awal dan aku masih mengkaji kebaikan dan keburukan terutama dari segi pasaran dan harga. Daripada 2080 benih cili yang disemai cuma 2000 pokok yang di tanam hasil daripada pemilihan pokok yang benar-benar berkualiti. Bagi semaian benih baru, aku tidak lagi menggunakan bekas plastik sebagaimana semaian sebelum ini. pada kali ini, aku lebih selesa untuk terus menyemai benih cili di atas tanah. Hasil pemerhatian aku ke atas semaian cili selama hampir 2 bulan, pokok cili yang di semai di atas tanah jauh lebih berkualiti dan tahan lasak daripada hasil semaian di dalam tapak semaian plastik.
Tanaman kacang bendi dan tanaman kacang panjang telah mengeluarkan hasil dan telah mula dipasarkan. Syukur, sehingga sekarang belum ada serangan serangga perosak di kawasan pokok bendi dan kacang panjang ini walaupun kurang penggunaan racun. Aku menggunakan langkah pengutipan kacang bendi ini mengikut perbezaan hari dengan pengutipan kacang panjang dimana hasil di petik selang sehari bagi mengawal ketahanan pokok dan kualiti buah yang dikeluarkan.
Sedikit perkongsian ilmu disini ialah, sekiranya kutipan dibuat pada hari tersebut, maka sebaik-baiknya hendaklah dibaja sekali pada keesokkan harinya dan disiram dengan air pada kuantiti yang lebih. kemudian hasil boleh dipetik lagi pada hari berikutnya pula.
Friday, February 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment