Wednesday, January 30, 2008

hasil sayuran

Alhamdulillah, aktiviti pengurusan ladang dan permasaran hasil tanaman berjalan mengikut perancangan. Cuma tersasar sedikit berkaitan matlamat pengeluaran dimana sebelum ini, aku mensasarkan pengeluaran bagi kombinasi 8 jenis sayuran berdaun sebanyak 500kg sehari. Tetapi yang berlaku sebaliknya, namun ia bukanlah negatif, bagi aku ia satu perkembangan yang lebih positif kerana pada masa sekarang, pengeluaran hasil 2 jenis sayur sahaja iaitu sayur kangkung dan bayam adalah hampir 400kg sehari iaitu kangkung hampir 200kg dan bayam hampir 200kg. Mengikut pengiraan aku, apabila tiba masa untuk pengeluaran sayur sawi, kailan dan salad maka, ladang sayuran aku mampu mengeluarkan sehingga 800kg sayuran berdaun sehari bagi setiap hari. Syukur kerana ladang sayur ini mampu mengatasi target seterusnya mencapai matlamat pengeluaran.


Petani Thailand.

Aku dah pergi ke Thailand melawat seorang rakan disana iaitu di Satun, Thailand. Buat pengetahuan rakan-rakan, penduduk di Satun majoriti nya adalah melayu iaitu hampir 90%. Sempat juga aku belajar beberapa ilmu mengenai tanaman sayuran dan campuran racun untuk penggunaan yang berkesan bagi tanaman. Aku juga telah beli beberapa jenis benih sayuran dan racun untuk di cuba. Sebenarnya, membawa masuk racun tanaman ke Malaysia adalah menjadi satu kesalahan mengikut undang2 tapi pandai2 la nak hidup kannn...


permasaran

Setiap hari, perjalanan operasi ladang aku sekarang bermula jam 6 pagi. Jadual penghantaran sayur kepada peniaga dibahagikan kepada 2 iaitu penghantaran di sebelah pagi dan penghantaran di sebelah petang. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan usaha gigih dalam membuat pemasaran menjadikan matlamat kami tercapai. Org yg banyak berusaha dalam bidang permasaran ini ialah bapa saudara aku sendiri iaitu En.majid (pengurus ladang). Harga pasaran bagi sayuran sekarang amat baik dan aku berkeyakinan yang titik pulang modal untuk ladang sayuran ini adalah dalam tempoh 3 bulan sahaja. Bekalan sayuran di kawasan utara pun semakin kurang sekarang mungkin kerana musim kemarau yang telah bermula. kebanyakan peniaga sayur-sayuran di Pasar menjangkakan yang harga sayur akan naik pada minggu hadapan iaitu selepas Chinese new year.


harga sayuran

harga sayur-sayuran sekarang begitu memuaskan apatah lagi aku memasarkan sendiri hasil sayuran ini terus kepada peniaga, dengan bertindak demikian, maka aku dapat mengelakkan pergantungan dengan pemborong. Pada masa sekarang, harga yang ditolak kepada peniaga ialah seperti berikut:-

kangkung RM 1.20 per kg
Bayam RM 1.80 per kg
sawi RM 1.60 per kg


Lori

Sekarang, kami terpaksa menghantar sayuran dengan menggunakan kereta. Nasib baik la ada satu kereta buruk milik bapa saudara aku, dapat la dimuatkan dengan sayuran. Kalau tak mesti penuh kereta waja aku dengan sayur...AHHA...Takpe, dalam 1 @ 2 minggu lagi aku akan membeli sebuah lori 1 Tan bagi memudahkan urusan penghantaran sayuran kepada pembeli. Mungkin jenis lori yang di beli adalah dari jenis Daihatsu V58 (Tipper). kalau tak pon, dapat van yg besar skit pon dah ok.. p/s :- ada tak kawan2 yg berminat nak jual lori?


Fasa 3

Projek untuk kawasan Fasa 3 iaitu tanaman cili sebanyak 10000 pokok akan bermula 2 minggu lagi. Alhamdulillah selepas Bank Pertanian meluluskan pinjaman aku maka boleh la diteruskan dalam masa yang ditetapkan. Bantuan daripada Jabatan pertanian???? insyaallah..nanti aku nak gie follow up balik. En Roslin daripada PPK kawasan pon dah ada melawat ladang sayur aku minggu nie...


SME Bank

Minggu ini aku berada di KL selama 1 minggu bagi menyelesaikan beberapa urusan berkaitan syarikat dan aku juga menghadiri majlis penyampaian sijil Program Inkubator Usahawan Siswazah (PIUS) anjuran SME Bank iaitu satu kursus keusahawanan yang telah berlangsung selama 3 bulan pada tahun lalu. Peserta PIUS ini boleh membuat pinjaman dengan SME Bank bagi membiayai perniagaan tetapi aku sendiri belum ada perancangan yang tetap untuk menggunakan kemudahan pembiayaan daripada SME Bank.(takpe..kerana peserta PIUS masih layak memohon sehingga berumur 40 thn)


Permohonan Overdraft (OD) kena tolak

Semalam, aku menerima surat daripada Maybank memaklumkan yang permohonan aku untuk kemudahan overdraft telah di tolak kerana usia syarikat aku kurang daripada 3 tahun...hihihi...rasanya, sekarang la masa yang sesuai untuk aku memohon pinjaman dengan SME Bank. Kalau tidak, susah la aku nak rolling perniagaan pembekalan untuk medical equipment tu.

Sunday, January 20, 2008

Harga Dan Isu

Alhamdulillah, sayur2 yang aku tanam untuk percubaan dulu dah boleh dipetik dan hasilnya pon ok, Sayur kangkung lebih kurang 100kg sepatutnya boleh dipetik selepas 18 hari tetapi kami petik setelah 22 hari. Bayam pula lebih kurang 80kg dan sawi hongkong dalam 100kg. Atas nasihat mak aku dan bapa saudara aku, kami sedekahkan hasil kangkung dan bayam yang pertama nie kepada saudara mara dan kawan2. cuma aku sempat juga test market gie jual 10kg kangkung dan 13kg bayam tu kat kedai berdekatan. tu pon selepas dah sedekahkan kepada semua orang. Respons yang aku terima dari tauke kedai tu, dia cakap kangkung memang laku dan habis sebab masih segar cuma bayam saja kurang diminati. Ini mungkin kerana bayam tu jenis berdaun panjang dan bukannya berdaun bulat. Harga yang dia bayar ialah Kangkung RM 1.00 per kg dan Bayam RM 1.80 per kg. So, aku dah tahu la yang market kat kawasan utara nie kurang minat ngan bayam berdaun panjang.

Harga Pasaran Sayur-Sayuran

Syukur sebab pada masa sekarang harga pasaran sayuran berdaun nie masih stabil dan maklumat yang aku dapat daripada peniaga-peniaga sayur mengatakan harga pasaran sekarang akan kekal sehingga bulan Mac nanti. Bapa saudara aku (aku lantik sbg pengurus ladang) juga telah mendapatkan beberapa peniaga yang bakal menjadi pelanggan tetap ladang sayur kami nanti. Cuma yang aku takutkan nanti ialah,kami tidak mampu memenuhi permintaan dan tidak dapat memaksimumkan penawaran kerana aku cuma menganggarkan pengeluaran sebanyak 500kg sehari daripada kombinasi sayur kangkung, sayur bayam panjang dan bayam bulat dan sayur sawi putih serta sawi hongkong(sebenarnya proses penanaman dah mengikut plan ini). Sedangkan, mengikut perkiraan tempahan bagi sayur kangkung saja dah melebihi 200kg sehari. Harga pasaran pula berubah-ubah setiap hari mengikut harga pasar borong, ada sesetengah hari, sayur kangkung mencecah RM 1.80 per kg dan kebiasaan nya ialah pada harga RM 1.50 per kg. Bagi sayur bayam pula ialah antara RM 1.40 per kg sehingga RM 1.90 per kg.

Strategi Harga

Aku sekarang sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan dengan bakal pembeli tetap sayuran dari ladang ini. Strategi aku adalah untuk memberikan harga tetap@ harga mati bagi sayuran kangkung dan sayuran bayam untuk tempoh setahun. mengikut pendapat dan perbincangan dengan pekerja2 aku, kami setuju untuk memberikan harga sayur kangkung RM 1.00 per kg dan sayur bayam RM 1.50 per kg. Bagi aku ini adalah harga yang jauh lebih baik berbanding harga ladang sebenar. Harga yang aku tawarkan adalah purata harga antara harga ladang dengan harga borong.Bagi sayuran jenis lain (Sawi/Kailan/Salad/Kacang Panjang/Bendi/Cili), aku akan menawarkan mengikut harga borong di pasaran. Sebagai orang baru yang memasuki bidang pertanian ini, aku terpaksa berdepan dengan Pemborong-pemborong lain yang telah lama bertapak dalam bidang ini dan mereka ini telah memiliki pelanggan (peniaga-peniaga) yang sedia ada. Jadi, dengan strategi harga ini, aku meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapatkan pelanggan.


Kos Pertanian Meningkat

Perghhhh..terkejut betul aku...cuma masa yang berbeza beberapa hari tapi peningkatan harga kos bahan-bahan pertanian yang begitu ketara sehingga mencapai 100%. Dibawah nie aku berjaya senaraikan beberapa bahan yang aku beli beberapa hari lalu berbanding harga yang aku beli minggu lepas.

Baja NPK 16:16:16 daripada RM 93 telah meningkat sehingga RM 117.
Racun Rumpai daripada RM 45 telah menigkat kepada RM 75.
Kapur 50kg daripada RM 7 telah meningkat kepada RM 15
Plastik Tanah daripada RM 55 telah meningkat kepada RM 86


Isu Penghapusan Subsidi Pertanian

Sebenarnya aku tidak kisah sangat sebelum ini, tetapi sebagai seorang yang dah faham dengan masalah petani (Kebanyakan org kampung aku pun Petani), aku rasa Kerajaan patut mengkaji balik secara mendalam isu menghapuskan subsidi pertanian kepada petani. Kerajaan tidak sepatutnya tunduk dengan negara-negara maju yang memperjuangkan penghapusan subsidi pertanian walaupun mereka telah mencapai persetujuan dalam Persidangan Pertubuhan Perdagangan Sedunia pada tahun lepas. Nasib petani di negara kita akan terjejas teruk walaupun selama ini mereka menikmati faedah hasil pemberian subsidi pertanian.

Situasi sekarang, Kebanyakan petani di Malaysia diberikan subsidi untuk menghasilkan tanaman dan menjualnya dengan harga berpatutan dan hasil tanaman dari luar negara pula dikenakan tarif import bertujuan melindungi petani kita daripada kerugian. Selepas FTA, petani akan kerugian apabila tarif tanaman luar negara akan dikurangkan. Malaysia akan dibanjiri oleh hasil tanaman negara luar yang amat murah berbanding dengan harga tanaman di Malaysia kerana peningkatan kos pertanian yang meningkat dari setahun ke setahun. Pertanian di Malaysia tidak lagi menguntungkan seterusnya petani tidak akan berminat untuk bertani lagi. Tambahan pula, negara-negara luar yang telah menggunakan teknologi yang jauh lebih tinggi dan mereka juga memberi subsidi tinggi kepada pertanian mereka. Oleh itu, harga tanaman tempatan tidak boleh bersaing dengan harga tanaman daripada negara luar yang sangat murah. Pada pandangan aku la, bila situasi ini benar2 terjadi, kita telah meletakkan negara dalam situasi yang amat berbahaya sekiranya berlaku perkara2 yang tidak elok.


Pinjaman Di luluskan

Alhamdulillah. Hari ini bolehlah digelarkan sebagai hari pinjaman aku diluluskan. Pelik tapi itu la realitinya. 2 daripada 3 permohonan pinjaman aku diluluskan. Permohonan pinjaman yang di pohon sebanyak RM 50,000.00 daripada Bank Pertanian dibawah Skim Usahawan Tani Komersial Siswazah (SUTKS) diluluskan sepenuhnya. Terima kasih aku ucapkan kepada semua pegawai dan kakitangan Bank Pertanian cawangan Kangar, Perlis terutama kepada En. Fauzi.

Satu lagi pinjaman ialah pinjaman peribadi daripada Bank Standart chartered tetapi aku mungkin akan menolak kerana jumlah pinjaman yang dipohon sebanyak RM 50,000.00 cuma diluluskan sebahagian sahaja. Interest pon 18% setahun..perghhhh..tinggi tu.

Permohonan yang aku masih tunggu sehingga sekarang ialah kemudahan overdraf (OD) daripada Maybank sebanyak RM 100,000.00. Aku memohon kemudahan OD nie untuk digunakan bagi perniagaan pembekalan barangan "Medical Equipment" yang dah dijalankan sejak bulan 7 thn lepas.

Tuesday, January 15, 2008

Thursday, January 10, 2008

pemasaran

Alhamdulillah, sejak pam air nie sampai, mudah sikit kerja aku...(sebenarnya pekerja aku yg mudah sebab dah tak perlu menyiram setiap hari). Proses penyiraman dilakukan 2kali sehari iaitu di sebelah pagi dan di sebelah petang. Pekerja-pekerja aku juga giat memulakan tanaman secara besar-besaran mengikut plan yang lebih efisien bagi mencapai matlamat pengeluaran hasil sayuran sebanyak 500kg sehari.

Plan pemasaran

Aku pula dah sibuk ke setiap pasar-pasar sehari dan pasar-pasar malam sekitar kedah dan perlis mempromosikan hasil ladang sayuran nie. Perghhh..susah juga rupanya nak memasarkan hasil sayuran. Setiap peniaga yang ditemui masih ragu2 dan kurang keyakinan untuk mengambil hasil sayuran dari ladang aku. puncanya, mereka takut aku tidak mampu membekalkan sayuran untuk setiap hari. Letih juga la nak menyakinkan peniaga2 nie, tapi alhamdulillah, respons yang diterima setakat hari ini, semuanya positif. Aku cuba untuk mengelakkan dari memasarkan hasil ladang ini ke pasar borong kerana faktor harga yang di monopoli oleh pemborong-pemborong besar. Risiko yang aku bakal terima sekiranya aku memasarkan kepada pusat pengumpulan sayur ni adalah penurunan harga yang melampau. Seperti yang aku jangkakan, penerimaan pembeli lebih kepada sayuran tempatan berbanding sayuran import dari thailand. cuma aku sedikit risau tentang kemungkinan lambakan sayuran dari negeri Perak atau Cameron Highland yang pernah berlaku sebelum ini. Hasil maklumat daripada peniaga-peniaga di sekitar Kodiang dan Arau, mereka mengatakan sekiranya lambakan sayur seperti kangkung, bayam dan sawi berlaku, kemungkinan harga akan jatuh sehingga RM 0.60 bagi setiap kg. Sekarang aku masih berusaha dan percaya pada plan pemasaran awal untuk mendapatkan 10orang peniaga sayur yang bakal menjadi pelanggan tetap aku seiring dengan pengeluaran sayuran sebanyak 500kg sehari.


bantuan rakan dan saudara mara

Syukur, walaupun terhegeh2 aku buat permasaran sendiri, ada juga kawan2 dan saudara mara yang tolong aku dalam proses pemasaran nie. Terima kasih semua. Pada hari jumaat lepas, diadakan sedikit majlis kesyukuran dan bacaan doa selamat sempena 1 bulan operasi ladang sayuran ini. Majlis ini sebenarnya emak aku yang keluarkan modal ( hihihi..duit aku dah kering ) dan memasak untuk semua jemputan dari kalangan saudara-mara dan kawan-kawan.


Tanaman

Sehingga kini, jenis-jenis sayuran yang telah ditanam ialah seperti berikut:

1 . Sayur Sawi Putih
2 . Sayur Sawi Hong Kong
3 . Sayur Bayam Daun Panjang
4 . Sayur bayam Daun Bulat
5 . Sayur Salad
6 . Sayur kailan
7 . Sayur Kangkung
8 . Sayur Kacang Panjang
9 . Sayur Kacang bendi
10. Cili Merah kulai

SALAM MAAL HIJRAH